SELANGOR FC
BERITA

Previu Perlawanan ACL2 MD1 Kumpulan H | Muangthong United FC vs Selangor FC | Perjalanan #ACLTwo Bermula

Sep 19, 2024 - FAS

Hari ini, Selangor FC akan memulakan saingan AFC Champions League Two (ACL2) 2024/25 Kumpulan H bertemu MuangThong United F.C. di  Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, Thailand pada jam 6 petang (waktu Malaysia). 

Selangor FC telah diundi dalam Kumpulan H bersama tiga kelab daripada tiga negara yang berbeza, Muangthong United F.C. (Thailand), Jeonbuk Hyundai Motors (Republik Korea) dan Dynamic Herb Cebu FC (Filipina) bagi mengharungi ACL2.

Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, kemenangan tempoh hari mungkin menambah motivasi pasukan tetapi hari ini bakal menjadi pengalaman yang berbeza kepada para pemain.

“Kami, Selangor FC berbesar hati berada di sini kerana sudah agak lama kelab tidak bermain dalam pertandingan tahap tinggi ini. Moral pemain setakat ini amat baik dan kami juga dapat membuat persiapan yang cukup untuk beraksi pada malam ini. Selain daripada itu, antara yang penting bagi saya adalah hampir semua pemain saya boleh turunkan pada malam ini, mereka semua cergas untuk mengharungi perlawanan ini.

“Benar, keputusan semasa kami dalam liga mungkin akan meningkatkan motivasi pemain tetapi perlawanan sebentar lagi merupakan satu peringkat yang berbeza dan lebih tinggi. Kita akan menentang Muangthong United, salah satu kelab terbesar di Thailand, pastinya akan mewujudkan sebuah pengalaman yang berbeza,” jelas Nidzam Jamil.

Apabila ditanyakan berkaitan Muangthong United F.C., Nidzam Jamil jelas menganggap mereka sebuah pasukan yang besar, “Saya yakin kebanyakan orang Malaysia memang mengikuti liga Thai dengan teliti. Secara peribadi saya telah mengikuti kelab itu sejak 10 tahun lalu, bagi saya  Muangthong merupakan salah sebuah kelab terbesar di Thailand bersama kelab-kelab yang lain, mereka juga merupakan antara pasukan yang kuat dari segi keputusan dan pencapaian. Pastinya kita perlawanan yang baik daripada kedua-dua pasukan akan disajikan.”

Bagi keberadaan pemain, Mukhairi Ajmal dan Alexander Agyarkwa masih menjalani sesi pemulihan daripada kecederaan mereka.

Pihak pengurusan Selangor FC mendoakan kejayaan pasukan bagi mengharungi perlawanan pertama ACL2 ini dengan baik. Semoga dipermudahkan Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!